Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap semasa hadir pada Program Global Madani Forum 2024 di Sunway Putra Hotel, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 11 JULAI 2024.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menyerahkan kepada pakar-pakar untuk membincangkan mengenai perincian di dalam Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan).

Menurut Perdana Menteri, RUU itu sedang dibincangkan termasuk mendengar pandangan pakar-pakar berkaitan sebelum akan dirujuk kepada Majlis Raja-Raja yang dijangka minggu hadapan.

“Tidak ada pertikaian soal Ahli Sunnah Wal Jamaah, kita rujuk kepada Mazhab Syafie, Maliki, Hanafi, Hambali dan pandangan-pandangan lain.

“Perincian itu ada dibincangkan, jadi saya serah kepada pakar-pakarnya dan kemudiannya mungkin akan dirujuk kepada Majlis Raja-Raja minggu depan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada majis Global Madani Forum 2024 di sini, hari ini.

Beliau ditanya berkenaan titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang mana baginda tidak berkenan apabila nama Majlis Raja-Raja digunakan dalam usaha menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan).

Perkembangan itu dimaklumkan melalui Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dalam satu hantaran di Facebook semalam.

“Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail menitahkan saya memaklumkan bahawa baginda tidak berkenan nama Majlis Raja-Raja digunakan dalam usaha menyokong RUU Mufti Wilayah Persekutuan,” kata Mohd. Asri.

Pada 2 Julai lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar membentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat berhubung tiga RUU membabitkan hal ehwal Islam di negara ini.

Antara lain, RUU Mufti itu mentakrifkan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari sudut akidah bersumberkan aliran Al-Asyairah, Al-Maturidiah dan fiqh Mazhab Syafie dengan meraikan tiga mazhab lain dan tasawuf Imam Ghazali dan Imam Junaid. – MalaysiaGazette