KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau percaya terdapat elemen sogokan di sebalik sindiket pelacuran serta perjudian haram menyebabkan aktiviti itu terus wujud di ibu negara.
Sehubungan itu, tambah Perdana Meteri, beliau sudah mengarahkan Menteri Wilayah dan Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk menangani isu tersebut.
Malah, tegas beliau, kerajaan khususnya sejak tahun lalu juga mula mengambil tindakan keras dalam membanteras aktiviti-aktiviti itu.
“Menteri Wilayah (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr. Zaliha Mustafa) memang ditugaskan bersama Datuk Bandar (Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh), kerana hal ini dibiarkan sekian lama, termasuk semasa kerajaan dahulu.
“Saya percaya jika ada sarang pelacuran, sarang perjudian haram, semua ini mesti ada elemen sogokan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada majis Global Madani Forum 2024, di sini, hari ini.
Sementara itu, ditanya sama ada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu sama-sama terlibat dalam usaha mambanteras aktiviti pelacuran dan perjudian itu, Anwar berkata, beliau percaya badan tersebut sedang bergerak ke arah itu.
Terdahulu, Anwar ditanya sama ada pihak berkuasa boleh mengambil tindakan sama di Kuala Lumpur seperti dilakukan kerajaan Indonesia yang menutup kawasan Dolly di Surabaya yang menjadi pusat pelacuran sejak 1960-an.
Ia berikutan laporan media yang mana kawasan di sekitar ibu negara seperti lubuk pelacuran tertua di Pudu dan medan selera di Jalan Gelang serta Jalan Kalong didapati masih terus beroperasi meskipun selepas beberapa kali serbuan dilakukan pihak berkuasa. – MalaysiaGazette