Pasangan suami isteri yang juga pempengaruh dibawa pegawai SPRM hadir ke Mahkamah Majistret Putrajaya bagi permohonan reman membantu siasatan atas dakwaan menyeleweng dana awam untuk kegunaan peribadi dan tujuan perniagaan di Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 11 JULAI 2024.

PUTRAJAYA – Pempengaruh media sosial yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam berhubung dakwaan menyeleweng kutipan derma meminta orang ramai untuk mendoakan beliau dan isterinya.

Suspek lelaki yang berusia 30 tahun itu turut memaklumkan dia dalam keadaan sihat.

“Alhamdulillah, mohon doa yang baik-baik,” katanya kepada media.

Dia berkongsi perkara itu ketika menyapa pengamal media sewaktu menuju ke tandas.

Terdahulu, pempengaruh itu bersama isterinya berusia 26 tahun tiba di mahkamah pada jam 9.19 pagi untuk permohonan reman berhubung isu dakwaan menyeleweng kutipan derma.

Pasangan terbabit memakai baju berwarna jingga ketika dibawa anggota SPRM.

Sebelum ini pempengaruh terbabit menerusi peguamnya menafikan semua dakwaan penyelewengan dan pecah amanah seperti yang tular di media sosial. – MalaysiaGazette