Suhaili Abdul Rahman.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman hari ini mengemukakan saman terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana telah memecatnya secara tidak sah.

Dalam afidavit yang difailkan oleh Suhaili, beliau telah menamakan Kapten (B) Datuk Muhammad Suhaimi Yahya sebagai defendan iaitu pegawai awam Bersatu seperti diperuntukkan mengikut Seksyen 9(c) Akta Pertubuhan 1966.

Kata Suhaili, Lembaga Disiplin Bersatu mengemukakan surat yang memaklumkan pertuduhan telah dibuat terhadapnya atas pelanggaran terhadap Artikel 22.1 (f) perlembagaan parti.

Jelas beliau, beliau menulis surat kepada Lembaga Disiplin untuk menjelaskan bahawa kenyataan itu dibuat kerana kegagalan parti menyediakan dana untuk membantu rakyat di Labuan.

“Namun walaupun dengan penjelasan munasabah, Lembaga Disiplin secara salah di sisi undang-undang dan tidak rasional memutuskan untuk menggantung keahliannya bagi tempoh enam tahun pada 7 November 2023.

“Saya kemudian saman Bersatu di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 19 Disember tahun lalu, bagaimanapun kes itu dibatalkan atas alasan bidang kuasa wilayah mahkamah.

“Pada 2 Mac lalu, Bersatu mengadakan satu Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM), di mana pindaan kepada perlembagaan telah diluluskan. Mengikut pemahaman saya, pindaan itu menambah 3 sub-klausa kepada perlembagaan.

“Saya kemudian menerima surat daripada Setiausaha Agung yang menyatakan bahawa saya telah depecat secara automatik oleh parti atas alasan memfailkan saman, berdasarkan Artikel 10.2.6,” katanya dalam afidavit itu.

Suhaili berkata, Setiausaha Agung Bersatu turut meminta beliau mengosongkan kerusinya kerana sudah tidak lagi bergelar ahli parti itu.

Suhaili yang juga bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, memohon perisytiharan antaranya, di bawah Seksyen 41 Akta Relief Spesifik 1950 bahawa pemecatannya yang salah di sisi undang-undang, adalah tidak sah dan bertentangan Seksyen 124B Kanun Keseksaan.

Selain itu, beliau juga memohon perisytiharan di bawah Seksyen 41 Akta Relief Spesifik 1950 bahawa Artikel 10.2.6 Perlembagaan Bersatu adalah bercanggah dan bertentangan Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan selain perisytiharan bahawa beliau berhak di bawah Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan untuk mencabar pemecatannya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast