KUALA LUMPUR – Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, industri pelancongan dan peruncitan akan bekerjasama dengan kerajaan untuk menarik kehadiran 35.6 juta pelancong dan menjana pendapatan sehingga RM147.1 bilion.
Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Strategik, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Raja Badrulnizam Raja Kamalzaman berkata, menerusi kerjasama itu diharapkan dapat menarik minat pelancong untuk berada lebih lama di negara ini.
“Melalui kempen pemasaran bersama, perkongsian strategik, dan pembangunan pakej pelancongan yang menarik, industri pelancongan dan peruncitan boleh menarik lebih ramai pengunjung ke perairan kita.
“Kerjasama ini diharapkan mampu meningkatkan pengalaman keseluruhan pelancong dan menggalakkan penginapan di negara ini dengan lebih lama.
“Usaha sinergi industri ini bukan sahaja akan memenuhi sasaran yang ditetapkan Tahun Melawat Malaysia 2026, bahkan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran mampan untuk negara kita,” katanya ketika berucap merasmikan Ekspo Francais Malaysia (FEM) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau tidak menafikan sumbangan Persatuan Rangkaian Runcit Malaysia (MRCA) yang telah banyak membantu Peindustrian Kecil dan Sederhana (PKS) untuk berkembang maju, sekali gus memperkayakan ekonomi kita dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat.
Perniagaan francais adalah penggerak kepada pertumbuhan dan kemakmuran sektor runcit dan ekonomi secara keseluruhannya.
“Melalui penciptaan pekerjaan, pemerkasaan keusahawanan, kestabilan ekonomi, pembangunan kemahiran, penglibatan komuniti, penyeragaman dan capaian global, francais memainkan peranan penting dalam membentuk ekonomi yang cergas dan berdaya tahan,” katanya. – MalaysiaGazette