KUALA LUMPUR – Polis telah menahan 18 orang yang disyaki terlibat dengan sindiket pelaburan palsu dalam serbuan di dua buah kondominium di Jalan Ampang, di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Mohamad Lazim Ismail berkata, kondominium tersebut dilengkapi dengan kawalan keselamatan 24 jam untuk mengelakkan modus operandi sindiket tersebut dikesan.

“Dalam serbuan itu, sebanyak 62 jenis peralatan terdiri daripada 18 set komputer, 43 buah telefon pelbagai jenama dan satu unit router jenama TP-Link telah dirampas.

“Hasil siasatan mendapati sindiket penipuan ini melibatkan pelaburan forex (matawang asing) dan menggunakan rumah sebagai pusat panggilan untuk menjalankan aktiviti itu menerusi laman POLYX.

“Modus operandi itu juga dipercayai telah beroperasi selama tiga bulan dan menyasarkan mangsa daripada Korea dan Amerika Syarikat,” katanya.

Daripada 18 individu yang ditahan, seramai 16 orang adalah lelaki tempatan, seorang wanita tempatan dan seorang wanita warga asing.

Menurut Mohamad Lazim, kesemua suspek ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan mereka dipercayai menerima bayaran komisien sebanyak RM3,000 setiap seorang setiap bulan.

“Sindiket ini telah menjanjikan keuntungan sebanyak 1.5% kepada para pelabur tetapi, mangsa tidak akan dapat mengeluarkan duit mereka selepas seminggu,” ujarnya.

Sementara itu, Mohamad Lazim berkata, setakat ini tiada laporan kerugian berkaitan sindiket ini diterima pihaknya. – MalaysiaGazette