Keadaan Gaza yang musnah diserang Israel.-Foto AFP

GAZA- Sejumlah 60 mayat ditemukan di kawasan Tal al-Hawa, bandar Gaza, setakat ini.

Jurucakap Pertahanan Awam Gaza memberitahu Al-Jazeera, mayat-mayat itu ditemukan selepas pasukan tentera Israel berundur pagi tadi.

Katanya, puluhan lagi dikhuatiri masih tertimbus di bawah runtuhan dan dalam masa sama aktiviti tentera Israel turut mengganggu usaha mencari mayat-mayat berkenaan.

Menurut laporan koresponden Al-Jazeera yang memetik sumber petugas perubatan, terdapat empat petugas dari organisasi kemanusiaan United Kingdom, Al-Khair Foundation terkorban dalam serangan berhampiran Khan Younis.

Manakala lapan orang terbunuh di Rafah, bandar yang terletak di selatan Gaza.

Katanya mayat-mayat berkenaan telah dihantar ke Hospital Nasser di Khan Younis.

Dalam kejadian berasingan, empat terkorban di kem pelarian Nuseirat di tengah Gaza.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menegaskan, beliau menyokong rangka kerja gencatan senjata di Gaza namun menuduh Hamas telah membuat permintaan yang bertentangan dengan rangka kerja berkenaan.

Beliau turut mengulangi kenyataan tidak akan menghentikan perang selagi Hamas belum dikalahkan.

Sekurang-kurangnya 38,345 orang telah terkorban manakala 88,295 cedera dalam perang Israel terhadap Gaza sejak 7 Oktober tahun lalu.- Al-Jazeera.