KUALA LUMPUR – Bapa kepada Baby Syifaa mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyalahgunakan harta iaitu wang milik seorang individu berjumlah RM67,000 pada tahun lalu.
Tertuduh, Yuseri Yusof, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Illi Marisqa Khalizan di Mahkamah Majistret, hari ini.
Terdahulu, tertuduh yang memakai baju berwarna kelabu tiba di mahkamah pada jam 9.45 pagi dengan dikawal ketat anggota polis.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan curangnya menyalahguna sesuatu harta berjumlah RM67,000 milik seorang wanita, Nurul Ain Awatiff.
Kesalahan tersebut dilakukan sebuah premis di Jalan Wangsa Delima 6, di dalam daerah Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 20 Julai hingga 12 Oktober 2023.
Susulan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Semasa prosidng, Timbalan Pendakwa Raya, Hamizah Hisan mencadangkan tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh, Gaithri Thomas merayu kadar jaminan direndahkan kepada RM5,000 atas faktor tertuduh tiada pendapatan tetap.
Selain itu, Yuseri hanya bekerja sebagai pempengaruh media sosial dan perlu menanggung seorang anak perempuan berusia sembilan tahun yang masih bersekolah.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan ikat jaminan ke atas tertuduh sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 26 Ogos depan.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf mengesahkan seorang lelaki telah ditahan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju pada jam 2.45 petang, Selasa lalu.
Aktivis yang memperjuangkan kes penganiayaan itu, didakwa menyeleweng wang sumbangan orang ramai yang disalurkan kepada akaun syarikat YY Community Center.
Bekas peguam pemerhati keluarga Baby Syifaa, Hafiz Norkhan juga menafikan wang itu digunakan untuk memulakan kerja bagi mewakili kes bahkan tidak mengetahui namanya digunakan dan hanya menyedari perkara itu selepas diberitahu oleh mangsa dan pengadu lain sebelum membuat laporan polis berkenaan isu itu.
Sebelum ini, kes kematian Baby Syifaa meraih simpati daripada orang ramai setelah bayi tersebut disahkan meninggal dunia kerana lehernya tersangkut pada buaian ketika tidur di pusat asuhan pada 22 Februari 2022. – MalaysiaGazette