Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hanya terlibat untuk baki tiga projek pengindahan River of Life (RoL).

Jelas DBKL, ketiga-tiga projek itu iaitu pakej 1E, 1F dan 1G pada asalnya telah dikeluarkan dari Projek RoL melalui keputusan Kerajaan pada Jun 2015.

“Walau bagaimanapun, keputusan kerajaan pada September 2023, telah mengarahkan pakej-pakej RoL ini untuk dilaksanakan semula.

“Bagi status semasa projek-projek ini, DBKL akan melaksanakan proses Value Assessment (VA) bersama Kementerian Ekonomi pada Julai 2024 dan selanjutnya Value Engineering (VE) bersama Kementerian Kerja Raya pada Ogos 2024,” kata DBKL dalam satu kenyataan, hari ini.

Orang ramai tidak melepaskan peluang beriadah bersama keluarga pada waktu malam di River of Life, Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, DBKL berkata secara keseluruhan, skop projek RoL melibatkan tiga komponen iaitu pembersihan sungai, pengindahan sungai dan pembangunan tanah.

Malah DBKL turut berkata terdapat pelbagai agensi kerajaan terlibat dalam menyelaras dan melaksanakan projek-projek yang membabitkan ketiga-tiga komponen tersebut.

“DBKL terlibat dengan komponen pengindahan sungai dan pembangunan tanah. Manakala bagi komponen pembersihan sungai adalah di bawah seliaan Jabatan Pembetungan serta Jabatan Pengairan dan Saliran.

“DBKL juga ingin menegaskan, kelewatan dalam melantik kontraktor bagi Projek Loji Rawatan Kumbahan Serantau Batu dan Collapsible Weir di Brickfields selepas penamatan projek tersebut bukan di bawah seliaan DBKL,” katanya lagi.

Untuk itu, DBKL berkata pihaknya telah menubuhkan satu jawatankuasa iaitu Taskforce RoL, telah ditubuhkan pada Jun 2024, bertujuan untuk memantau skop pengurusan, penyelenggaraan aset dan lain-lain skop berkaitan RoL.

“DBKL juga turut mengambil inisiatif bagi aspek penjagaan dan penyelenggaraan aset RoL (untuk skop pengindahan) termasuk keselamatan pembersihan, penyewaan dan penyelenggaraan, walaupun penyerahan secara rasmi aset-aset tersebut kepada DBKL belum lagi dibuat,” tambah DBKL lagi.

Sebelum ini, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) siri 2/2024 mendedahkan Projek Sungai Nadi Kehidupan atau RoL dijangka tidak akan siap pada tahun ini.

Laporan itu menyebut setakat Julai 2023, sebanyak 12 projek masih dalam peringkat pra pelaksanaan, lapan projek dalam pelaksanaan dan kontraktor penyiap belum dilantik bagi dua projek yang kontrak telah ditamatkan.

Untuk rekod, sehingga Disember 2023, sebanyak RM3.915 bilion telah dibelanjakan daripada peruntukan RM4.363 bilion. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast