Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.

KUALA LUMPUR – Polis berjaya mengesan satu lagi kes kehilangan wang daripada akaun bank melebihi RM2 juta dari sebuah bank di Kuala Kangsar, Perak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kehilangan wang tersebut terbongkar selepas polis menerima satu laporan pada 9 Julai lalu.

Laporan berkenaan memaklumkan terdapat pindahan wang daripada akaun simpanan tetap milik pelanggan ke akaun pihak ketiga yang dilakukan oleh kakitangan bank tersebut.

“Kegiatan kakitangan itu hanya terbongkar apabila dua orang pemilik akaun simpanan tetap terbabit hadir ke bank untuk membuat pengeluaran wang daripada akaun simpanan tetap pada 27 Jun lalu.

“Semakan oleh bank mendapati sebahagian daripada akaun simpanan tetap milik mereka sudah ditutup. Namun pelanggan-pelanggan berkenaan menafikan pernah membuat penutupan atau mengeluarkan wang daripada akaun simpanan tetap mereka,” katanya dalam sidang media khas di Menara KPJ, di sini, hari ini.

Tambah Ramli, siasatan oleh pihak bank mendapati seorang kakitangan mereka disyaki membuat pengeluaran wang berkenaan dan didepositkan ke beberapa akaun yang berbeza.

“Bagaimanapun, kakitangan berkenaan yang juga merupakan suspek utama dalam kes ini sudah meninggal dunia pada 5 Julai lalu kerana membunuh diri.

“Walaupun suspek utama meninggal dunia, siasatan kes ini tetap diteruskan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan,” katanya lagi.

Tegasnya, institusi perbankan perlu melaksanakan siasatan terperinci terhadap transaksi perbankan yang tidak dibenarkan seperti saranan yang dibuat oleh Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.

Jelas beliau, pihak bank tidak seharusnya menyalahkan pelanggan atas kerugian yang dialami daripada penipuan perbankan dalam talian melainkan terdapat bukti jelas pelanggan gagal melindungi butiran keselamatan peribadinya.

“Ia susulan terdapat pendedahan di akhbar tempatan yang melaporkan seorang mangsa keldai akaun dibawa oleh sindiket ke beberapa bank untuk membuka akaun tanpa banyak persoalan oleh pegawai bank bertugas.

“Ringkasnya, terdapat pegawai bank yang bersekongkol dengan sindiket untuk memudahkan pembukaan akaun oleh individu yang kononnya pemilik syarikat keldai bagi membolehkan wang penipuan disalurkan ke akaun syarikat tersebut,” katanya.

Beliau dalam masa sama menegaskan, satu peruntukan baharu yang bakal dikuatkuasakan bagi JSJK menyiasat dan mendakwa pegawai bank yang terlibat dengan aktiviti sindiket penipuan.

Sebagai langkah tambahan, beliau juga menyarankan agar pihak bank memperkemaskan sistem mereka demi memastikan kepentingan pelanggan sentiasa terpelihara.-MalaysiaGazette