Gambar hiasan

KOTA KINABALU- Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersedia mengeluarkan pasport antarabangsa dengan tempoh sah laku sehingga 10 tahun dalam masa terdekat.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pemanjangan tempoh sah laku pasport antarabangsa itu bakal membolehkan rakyat Malaysia mempunyai lebih banyak pilihan.

Tambah beliau, pihaknya telah melakukan kajian dan libat urus bagi mengenal pasti kesesuaian bagi pelaksanaan perkara tersebut.

Sehubungan itu katanya, kerajaan telah bersedia namun tarikh pelaksanaannya akan diumumkan kelak.

“Pasport dengan tempoh sah laku 10 tahun bukanlah perkara baharu. Negara seperti Thailand, Indonesia, Filipina dan Singapura juga telah keluarkannya.

“Malah, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Perancis juga mengeluarkan pasport dengan tempoh sah laku 10 tahun,” katanya semasa sidang media selepas perasmian Pejabat Pasport bertempat di Lapangan Antarabangsa Kota Kinabalu, di sini hari ini.

Untuk rekod, pasport antarabangsa Malaysia ketika ini bertempoh sehingga lima tahun sahaja.- MalaysaiGazette