Bekas Exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo didakwa mengeluarkan kenyataan menghasut iaitu kerajaan pro-Israel dan barat tiba di Kompleks Mahkamah, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 12 JULAI 2024.

KUALA LUMPUR – Polis menahan blogger kontroversi, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo selepas beliau selesai memberi keterangan dalam perbicaraan hari kedua berkaitan akta hasutan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Perkara itu disahkan Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Muhammad Azri dengan memaklumkan dua pegawai polis dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman menunggu di luar Mahkamah Sesyen Jenayah Siber, untuk menahan anak guamnya itu.

Rafique berkata, Muhammad Azri hari ini hadir untuk perbicaraan hari kedua susulan pertuduhan menghasut, termasuk dengan menuduh kerajaan pro-Israel dan pro-Barat.

“Mereka dalam perjalanan ke balai polis Dang Wangi. Arahan daripada atas. Ia berkaitan laporan polis berkaitan akta hasutan.

“Kerajaan hari ini betul-betul salah guna kuasa,” katanya.

Bagaimanapun Rafique berkata, beliau tidak jelas apakah kesalahan khusus yang dilakukan anak guamnya hingga menyebabkan dia ditahan.

Muhammad Azri turut berdepan pertuduhan menghasut lain dalam isu jualan stoking bertulis kaliman Allah oleh kedai runcit KK Mart. – MalaysiaGazette