Peguam yang mewakili pasangan suami isteri yang juga pempengaruh, Abd Rahim Ali selepas menghadiri pendengaran semakan keputusan reman di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 12 JULAI 2024

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini mengekalkan perintah reman ke atas pasangan pempengaruh media sosial, Aisyah Hijanah Azhari dan Mohd Hazlif Mohd Hazani atau Alif Teega selama empat hari sehingga Ahad ini.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan semakan yang difailkan Alif Teega, 30, dan Aisyah Hijanah, 26 tahun selaku pemohon.

Katanya, Mahkamah Majistret Putrajaya telah mematuhi peruntukkan Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dalam membenarkan permohonan reman yang dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Isu tersebut tiada kaitan antara pemohon dengan kesalahan yang disiasat tidak mempunyai merit dan sebarang kesalahan yang dilakukan pemohon-pemohon, jika ada hanya boleh ditentukan selepas siasatan selesai.

“Pihak SPRM seharusnya dibenarkan untuk melengkapan siasatan mereka ke atas dua pemohon ini dan perintah reman oleh Majistret terhadap mereka adalah sah. Justeru itu, mahkamah memutuskan pemohonan semakan ini ditolak,”katanya.

Semasa hujahan, peguam, Abd Rahim Ali yang mewakili pasangan itu berkata, anak guamnya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana badan awam.

Ia seperti yang termaktub dalam Sekseyn 3 Akta SPRM, iaitu akta yang membolehkan mereka disiasat mengikut Seksyen 23 akta sama.

“Pemegang saham dalam syarikat Hijanah Haul Holdings Sdn Bhd hanyalah Orang Yang Disiasat (OYDS) pertama dan kedua.

“Ahli-ahli syarikat itu juga bukanlah pegawai badan awam dan pihak kami berhujah tiada kaitan antara kedua-dua suspek dan kesalahan yang disyaki.

“Oleh kerana tidak terdapat sebarang kaitan, maka perintah reman yang diberikan Mahkamah Majistret hendaklah diketepikan,” jelasnya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib selaku responden brkata, siasatan mengikut Seksyen 23 yang dibuat hanyalah asas permulaan siasatan .

Jelasnya lagi, OYDS tidak semestinya akan dituduh di bawah seksyen tersebut selepas siasatan dijalankan oleh SPRM.

“Seksyen 23 Akta SPRM hanyalah permulaan siasatan berdasarkan maklumat yang diperoleh. Permohonan semakan ini adalah pramatang kerana tiada apa-apa asas untuk mengatakan siasatan telah selesai dan tiada kesalahan di bawah seksyen tersebut,” katanya.

Beliau juga menjelaskan, prosedur reman ini adalah penting untuk kedua-dua pemohon dalam membuktikan sekiranya terdapat kesalahan yang dilakukan atau sebaliknya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How menjelaskan, SPRM membuat permohonan reman itu kerana terdapat dakwaan platform Jom Donate digunakan pasangan pempengaruh itu untuk mengumpul derma daripada orang awam.

“Jadi, ia adalah dana awam yang dimasukkan ke dalam platform tersebut dan fakta mengapa terdapat syarikat yang mendapat kebenaran untuk mengutip derma perlu disiasat dengan jelasnya,” katanya.

Artikel berkaitan: 

Semalam, Alif Teega dan Aisyah Hijanah direman empat hari berhubung kesalahan salah guna kuasa untuk mendapatkan suapan.

Turut direman, dua lagi lelaki iaitu pengarah dan pemegang saham terbesar platform kutipan derma berkait kes yang sama.

Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan daripada pihak SPRM. -MalaysiaGazette