P. Ramasamy

KUALA LUMPUR – Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim  mempertahankan keputusan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mengenai kedudukan enam Ahli Parlimen Bersatu disifatkan sebagai kebudak-budakan atau tidak matang.

Bekas ahli DAP merangkap Pengerusi Interim Parti Bersepakat Untuk Hak Rakyat Malaysia (URIMAI), P Ramasamy berkata, Anwar tidak akan menerima peralihan sokongan keenam-enam wakil rakyat tersebut sekiranya turut sama memperjuangkan Akta Anti Lompat Parti.

“Adalah menjadi kebudak-budakan (tidak matang) untuk Anwar mempertahankan keputusan Johari atas alasan keperluan untuk memahami Perlembagaan secara keseluruhan dan bukan secara selektif pada bahagian tertentu.

“Jika Anwar jelas memikirkan keburukan lompat parti, beliau tidak akan menerima peralihan kesetiaan enam ahli Parlimen Bersatu yang dipilih.

“Bagi Anwar, selain rujukannya yang berterusan kepada prinsip moral yang tinggi, secara praktiknya, beliau hanyalah seorang ahli politik Malaysia biasa yang ingin terus berkuasa dengan mendorong wakil rakyat lain untuk mengalihkan kesetiaan mereka kepada kerajaan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Tambah beliau, Johari bukanlah pentafsir Perlembagaan Persekutuan atau pakar undang-undang berkenaan Akta Anti Lompat Parti.

Malah Ramasamy berkata, lantikan Johari sebagai Speaker adalah bedasarkan kesetiaan terhadap parti.

“Speaker (Johari) secara asasnya melibatkan politik partisan untuk mengesahkan kedudukan keenam-enam ahli Parlimen tanpa perlu meletakkan jawatan.

“Dalam hal ini, Johari akur dengan kehendak “boss” partinya – Anwar. Johari setelah membuat keputusan mengenai nasib enam ahli Parlimen Bersatu itu, dalam masa sama peluang untuk mencabar keputusan itu di mahkamah undang-undang mungkin masih jauh,” katanya lagi.

Mengulas lanjut Ramasamy berkata, Akta Anti Lompat Parti yang telah diluluskan di Dewan Rakyat bukanlah undang-undang terbaik di dunia, sebaliknya lebih kepada semangat dan niat untuk menghalang amalan keluar dari satu parti ke parti lain sehingga menjejaskan prinsip akauntabiliti politik dan moral.

Semalam Johari, menegaskan kedudukan keenam-enam ahli Parlimen yang telah dipecat dari Bersatu, kekal di kerusi mereka masing-masing.

Jelasnya, keputusan tersebut dibuatnya selepas membuat kajian terlebih dahulu.-MalaysiaGazette