ventilator
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pihak pengurusan sebuah pusat beli-belah di sini diarah menutup serta-merta mesin vape layan diri yang beroperasi secara terbuka.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, pihaknya memandang serius isu berkaitan selepas penjualan rokok elektronik atau vape menerusi mesin layan diri  tular di aplikasi X pada 10 Julai lalu.

“Bagi aduan ini, pihak KKM telah turun dan bertemu dengan pihak pengurusan pusat membeli belah yang terlibat bagi menerangkan tentang larangan penjualan menerusi mesin layan diri tersebut,” katanya.

Menurut KKM, Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), Seksyen 10 memperuntukkan larangan penjualan dan pameran semua produk merokok.

Tambahnya, peraturan tersebut turut merangkumi penjualan menerusi kaedah mesin layan diri dan kini sedang diperhalusi serta akan dikuatkuasakan bersama Akta 852 setelah diluluskan.

Katanya, larangan penjualan rokok elektronik melalui mesin layan diri merupakan kesinambungan daripada larangan penjualan hasil tembakau seperti rokok, cerut dan tembakau lerai melalui mesin layan diri di bawah peraturan sedia ada iaitu Peraturan 10, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 di bawah Akta Makanan 1983 (Akta 281).

“Sebagai persediaan ke arah penguatkuasaan Akta bersama peraturan dan perintah di bawahnya, KKM telah mengadakan Siri Taklimat Penguatkuasaan Akta 852 kepada semua pegawai penguatkuasa KKM dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara bermula 9 Jun 2024.

“Ini bagi memaklumkan tentang larangan-larangan yang terdapat di bawah Akta 852 dan peraturan di bawahnya termasuk larangan penjualan produk merokok melalui mesin layan diri,” katanya lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast