KUALA LUMPUR – Tiga pengawal keselamatan warga Filipina yang memiliki MyKad palsu diberkas dalam serbuan Ops Pengawal Keselamatan di sebuah premis perniagaan di sekitar Puchong, Selangor semalam.
Bahagian Penguatkuasa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berkata, siasatan awal mendapati suspek memperoleh MyKad palsu terbabit daripada ejen pada harga dianggarkan RM250.
“Tiga orang pekerja pengawal keselamatan ditahan disyaki menggunakan salinan kad pengenalan palsu sebagai identiti mereka di Puchong.
“Kesemua mereka yang di tahan berumur antara 27 tahun hingga 55 tahun dan kesemuanya adalah warga Filipina,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, operasi itu dijalankan susulan pemantauan dan risikan selama dua minggu di lokasi terbabit.
Katanya, ketiga-tiga suspek terbabit tidak mempunyai sebarang hubungan antara satu sama lain, ditahan mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990.
“Salah seorang suspek akan didakwa di mahkamah, yang mana jika disabitkan kesalahan, boleh dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
“Dua lagi suspek akan diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut kerana tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan,” katanya. – MalaysiaGazette