SERDANG – FELDA Robotic Challenge 2024 (FRC) adalah salah satu inisiatif dalam konteks digital yang dapat mengasah kemahiran kreativiti dan teknikal generasi muda FELDA, selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkasakan semua sektor dengan kemahiran digital agar tetap berdaya saing dan kompetitif.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, kementeriannya berbangga dan mengagumi komitmen FELDA dalam mempromosikan pendidikan digital di sekolah-sekolah KPM di kawasan FELDA, membekalkan murid dengan kemahiran yang relevan untuk masa depan.
“Hari ini, kita dapat menyaksikan ketangkasan murid-murid ini dalam merancang, membina, dan mengendalikan robot yang efisien dan cerdas dalam pertandingan FELDA Robotic Challenge 2024.
“Persaingan ini bukan hanya menguji kemahiran mereka tetapi juga menunjukkan
kerjasama kumpulan yang luar biasa,” katanya dalam teks ucapan hari ini.
Teks ucapan beliau telah disampai oleh Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan yang mewakili Ahli Parlimen Nibong Tebal itu dan menyempurnakan Felda Robotic Challenge 2024 dan Anugerah Kecemerlangan SPM 2024 di Taman Ekspo Pertanian Serdang (MAEPS) di sini hari ini.
Fadlina juga menyatakan keterujaannya bahawa sebanyak 80 sekolah dari FELDA, termasuk lima sekolah menengah dan 75 sekolah rendah dari seluruh negara termasuk Sabah, telah menyertai FRC 2024 pada kali ini.
Azmn turut menyampaikan anugerah kepada 10 sekolah terbaik kawasan Felda yang cemerlang SPM 2023 dan hadiah kepada 29 pelajar yang memperoleh semua A dalam SPM di kawasan Felda beserta replika cek RM1,000.
Dalam teks ucapan sama, Fadhlina menambah bahawa kejayaan pertandingan Robotik itu membuktikan bahawa generasi muda dari Kawasan FELDA memiliki bakat dan potensi yang sangat besar dalam bidang robotik, yang pastinya akan memperkayakan masyarakat.
Justeru katanya, pertandingan terbabit merupakan sebahagian daripada inisiatif
FELDA Digital Maker Hub – Coding and Robotic, yang mendukung pendidikan digital di kalangan murid dan guru.
“Saya bersyukur 80 daripada 270 sekolah di kawasan FELDA seluruh negara telah dilengkapi dengan peralatan robotik, dan kami berharap 190 sekolah lain akan segera mengikuti pelaksanaan tersebut.
“Impak daripada program ini juga sangat positif khususnya dalam memperluaskan lagi akses pendidikan digital sekali gus meningkatkan pengetahuan dan kemahiran murid-murid kita, sesuai dengan keperluan zaman.
“Dalam perkara ini, KPM akan terus bekerjasama dengan FELDA dan pihak-pihak lain untuk memperkukuhkan lagi sistem Pendidikan negara dan usaha untuk meningkatkan literasi teknologi, memperluas akses pendidikan digital, dan menyediakan lebih banyak
peluang pembelajaran akan terus diperhebat.
“Dengan ini, besarlah harapan saya kepada FELDA, MDEC dan agensi yang terlibat dalam menjayakan program ini dapat bersama-sama berganding bahu memastikan
kecemerlangan dan kelestarian pendidikan berteraskan digital diberikan pendedahan yang lebih banyak kepada murid-murid khususnya luar bandar,” tegasnya.
Fadhlina juga menambah bahawa KPM dan FELDA turut sentiasa berganding bahu untuk meningkatkan kualiti pendidikan kurikulum dan kokurikulum di sekolah-sekolah kawasan FELDA.
Katanya, ia terbukti melalui Sesi Libat Urus yang diadakan di empat lokasi terpilih di kawasan FELDA melibatkan sekolah, ibu bapa, guru, dan komuniti setempat untuk mengatasi cabaran serta mengidentifikasi penyelesaian yang dapat meningkatkan mutu pendidikan dan memenuhi keperluan semasa anak-anak peneroka.-MalaysiaGazette