Gobind Singh Deo.

KUALA LUMPUR – Undang-undang baharu yang meletakkan tanggung jawab ke atas pemilik platform media sosial perlu dipertimbangkan agar penyalahgunaan platform itu tidak lagi berlaku pada masa depan.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, sekiranya kejadian jenayah buli siber masih berlaku, tindakan segera boleh diambil untuk menghalang situasi sedemikian berterusan.

Beliau mengulas insiden menyayat hati seorang mangsa buli siber, pempengaruh Tiktok, Rajeswari Appham atau lebih dikenali sebagai Esha yang bertindak membunuh diri minggu lepas.

“Saya bersama-sama Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Menteri Undang-Undang dan Refomasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman, ketika mesyuarat Jemaah Menteri, telah membangkitkan isu buli siber yang semakin meningkat.

“Kes Rajeswari Appham yang meninggal dunia baru-baru ini adalah satu-satunya kes sebegini.

“Selaku Menteri Digital, saya menegaskan bahawa tindakan tegas dan segera harus diambil di dalam kes-kes buli siber. Dunia digital baharu memerlukan pendekatan baharu kepada cara kita berniaga, hidup dan belajar.

“Banyak lagi platform digital baharu akan didirikan dan digunakan untuk memperkasakan perniagaan kita dan taraf kehidupan kita. Bagaimanapun, kita perlu pastikan platform itu adalah selamat dari sudut keselamatan siber, perlindungan data peribadi dan yang penting sekali, ianya tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan.

Sambung beliau, undang-undang digital yang digubal selepas ini perlu mengelakkan daripada berlakunya sebarang penyalahgunaannya dan sekiranya berlaku, tindakan pantas harus diambil.

“Undang-undang sedia ada, khususnya Akta Komunikasi dan Multimedia, Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Komputer, memang wujud dan boleh dikuatkuasakan. Saya cadang undang-undang baharu dipertimbangkan untuk meletakkan tanggungjawab ke atas empunya platform itu sendiri bagi elak sebarang insiden selepas ini.

“Ini bertujuan untuk hantar signal jelas bahawa kita serius dalam hal mencari jalan penyelesaian dan semua pihak yang berkaitan mempunyai peranan penting yang perlu dilaksanakan bagi tujuan tersebut.

“Saya amat yakin bahawa pihak berkuasa akan mengambil tindakan yang sewajarnya dan keadilan dapat dilaksanakan untuk sesiapa yang menjadi mangsa kerakusan media sosial ini,” tegasnya. -MalaysiaGazette