Ahli Parlime Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim

JOHOR BAHRU – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menyifatkan keputusan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang mengekalkan kerusi enam bekas ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai salah.

Beliau berkata, walaupun keputusan tersebut adalah muktamad dan tidak boleh dibawa ke mahkamah, Bersatu boleh mencubanya dalam usaha untuk mendapatkan keadilan walaupun dilihat akan menempuh jalan yang sukar.

“Agak susah untuk berjaya kerana wujudnya Perkara 63(1) Perlembagaan Persekutuan (prosiding Dewan Rakyat tidak boleh dibawa ke mahkamah). Tetapi tidak rugi untuk mencuba.

“Jalan kedua adalah dengan mengadakan protes di jalan raya seperti yang dicadangkan Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad.

“Cara ini dibenarkan di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak rakyat untuk bersuara dan berhimpun.

“Maka mereka boleh berhimpun, syaratnya aman, beri notis kepada polis. Jangan bawa senjata, jangan berhimpun di kawasan yang tidak dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Khamis lepas, Johari memaklumkan keputusan tidak mengosongkan kerusi enam Ahli Parlimen bekas ahli Bersatu selepas mengkaji semua perkara dan telah dimaklumkan kepada Ketua Whip Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee melalui sepucuk surat bertarikh 9 Julai.

Pada 20 Jun lalu Bersatu mengemukakan notis kepada Speaker Dewan Rakyat meminta supaya enam kerusi Parlimen wakil rakyatnya yang sebelum ini menyokong Perdana Menteri dikosongkan.

Notis itu dikemukakan berdasarkan peruntukan Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan iaitu seseorang ahli Dewan Rakyat hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan dan kerusinya menjadi kosong apabila tidak lagi menjadi anggota parti politik.

Enam Ahli Parlimen berkenaan ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Mengulas lanjut, Hassan berkata, mereka perlu patuhi semua syarat untuk berhimpun secara aman sebagai rakyat di sebuah negara demokrasi dan pihak polis akan membantu serta memantaunya.

Menurut Hassan, sekiranya kedua-dua usaha tersebut gagal membuahkan hasil, Bersatu perlu menunggu rakyat membuat pilihan dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Soal sama ada saya setuju atau tidak dengan keputusan Johari, sudah tidak relevan sama sekali. Semua pihak termasuk saya kena terima hakikat bahawa sistem demokrasi di negara kita mengamalkan doktrin pengasingan kuasa atau ‘separation of powers’.

“Perkara 63(1) Perlembagaan Persekutuan adalah contoh punca kuasa bagi sistem pengasingan kuasa beroperasi di negara kita,” ujarnya yang merupakan wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR). – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Cara ke-3 ialah pembangkang boikot semua sidang parlimen yg dipengerusikan oleh speaker merepek tu…boikot si ubi kayu tu..buat apa bersidang dengan pengerusi yg berat sebelah..buang masa…

Comments are closed.