Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar bersama wakil-wakil NUTP yang hadir pada Majlis Sambutan Jubli Emas Penubuhan NUTP di Hotel Tenera, Bangi. Foto SADIQ SANI, 13 JULAI 2024

KUALA LUMPUR – Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang bakal diumum nanti antara terbaik pernah diperkenalkan kerajaan pada masa kini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, walau apapun yang terjadi, kenaikan gaji kakitangan awam dinaikkan melebihi 13 peratus bermula Disember ini.

Jelas beliau, walaupun hutang negara sudah mencecah RM1.5 trilion namun janji kepada penjawat awam seramai 1.5 juta akan tetap dipenuhi.

“Banyak keluhan saya dengar. Ada juga beritahu saya bukan mereka yang menyebabkan hutang negara naik mahupun ambil rasuah dan buat rumah di luar negara. Saya ambil maklum kerana itu bukan salah mereka.

“Ada yang kata ini tidak praktikal. Ada satu lagi kata pastinya penyelarasan kenaikan gaji ini tidak akan berlaku. Tetapi hakikatnya pada hari ini, JPA kerja bertungkus lumus dan kita akan cari jalan.

“Saya tidak sesekali membiarkan apa jua bidang tertinggal termasuklah bidang pendidikan,” katanya pada Majlis Sambutan Jubli Emas Penubuhan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) di Bangi, hari ini.

Anwar pada 1 Mei lepas sudah mengumumkan penjawat awam bakal menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus yang juga kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara, seiring pelaksanaan SSPA.

Ketika itu kata beliau, jumlah paling tinggi kenaikan gaji penjawat awam adalah pada kadar 13 peratus tetapi kerajaan akan memastikan kenaikan kali ini melebihi 13 peratus. -MalaysiaGazette