Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada Konvensyen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di IDCC, Selayang. Foto SYADILA AMARI, 13 JULAI 2024

KUALA LUMPUR – Kesemua jawatan tertinggi dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mungkin tidak akan dipertandingkan dalam pemilihan parti itu pada Oktober ini.

Perkara itu dinyatakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut menambah, pengumuman rasmi mengenainya akan dibuat sebelum tempoh pencalonan pemilihan parti tersebut kelak.

Jelas Muhyiddin, perkara itu antara yang dibincangkan dan diusulkan ketika `retreat’ bersama kepimpinan tertinggi Bersatu beberapa bulan lalu bagi mengelak pertembungan dan perpecahan dalam parti ketika pemilihan.

“Ketika `retreat’ itu, mereka minta saya berperanan untuk runding, jadi saya sudah bertemu hampir semua (kepimpinan parti) dan berunding dengan mereka.

“Saya sudah dapat ilham supaya apa pun jawatan tertinggi dalam parti mungkin dapat kita elakkan daripada pertembungan dan pertandingan.

“Tapi saya tak nak umumkan sekarang (secara rasmi). Keputusan saya sudah ada dan akan dimuktamadkan dalam tempoh sebelum pencalonan,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Bersatu di sini, hari ini.

Menurut Muhyiddin, keputusan itu menunjukkan wujudnya semangat muhibah dan tolak-ansur dalam kalangan pemimpin Bersatu untuk memberi laluan dan kesempatan kepada pemimpin terdahulu.

Lebih daripada itu, jelas beliau, keputusan tersebut juga akan memperlihatkan kepada ahli parti dan rakyat yang mana Bersatu mempunyai pemimpin dengan semangat perjuangan kuat, bersedia untuk bekerja serta saling membantu antara satu sama lain.

“Ini akan memberi gambaran yang cukup baik dan Insya-Allah akan tingkatkan lagi sokongan rakyat kepada perjuangan Bersatu. Bila sampai masa nanti, saya umumkan keputusan ini dan saya harap semua memberi sokongan 100 peratus,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, hanya jawatan presiden parti itu tidak dipertandingkan selaras dengan ketetapan Perhimpunan Agung Tahunan Khas Bersatu pada 25 November lalu yang sebulat suara memutuskan Muhyiddin kekal sebagai presiden parti bagi pemilihan akan datang. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast