KUALA LUMPUR – Seorang wanita yang parah akibat tersepit di tayar lori kontena yang terseret sejauh 80 meter dalam kejadian di Jalan Bulatan Masjid Sultan Abdul Samad, KLIA Sepang petang semalam dilaporkan kritikal.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Sha’riat kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi hari ini.
Kejadian itu berlaku semasa pemandu treler lelaki, 39, dalam perjalanan dari Seremban ke Pelabuhan Klang.
Semasa melalui Masjid KLIA di lorong tengah, pemandu berkenaan tanpa menyedari berlaku kemalangan membabitkan kenderaannya dengan sebuah motosikal.
“Apabila sebuah motosikal membunyikan hon, dia terlihat sebuah motosikal telah terseret di bahagian tayar belakang treler dengan penunggang motosikal terduduk di belakang treler itu.
“Pengadu memberhentikan treler di tepi jalan dan keluar membantu penunggang motosikal tersebut yang kemudian memaklumkan terdapat seorang wanita berada di antara tayar sebelah kiri dan terseret di atas jalan.
“Kedua-dua penunggang dan pembonceng dibawa ke Hospital Cyberjaya. Pembonceng motosikal dikenalpasti identitinya bernama Megala, 24, dari Sepang mengalami kecederaan parah di badan dan kepala dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi (ICU),” katanya.
Manakala rakannya wanita bernama Kogila, 39, alami kecederaan ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital sama.
Tambah beliau, polis masih meneruskan siasatan lanjut dan sedang mencari saksi kejadian dan mendapatkan laporan pakar.
Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang melihat kejadian tersebut atau memiliki ‘dash cam’ diminta berhubung segera dengan pegawai penyiasat Inspektor Ariff di talian 013-6404165 atau Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Mat Nor di nombor 013-3860541 untuk membantu siasatan. – MalaysiaGazette. – MalaysiaGazette