Ahmad Zahid Hamidi

MUAR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersifat terbuka untuk jawatan tertinggi parti itu dipertandingkan pada pemilihan UMNO pada tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pemilihan itu bagaimanapun bergantung kepada keputusan yang akan dibuat di dalam Majlis Kerja Tertinggi kerana parti amat mematuhi apa yang tercatat di dalam perlembagaan dan peraturan UMNO.

“…tentunya seseorang calon itu tidak boleh membuat keputusan secara bersendirian, ianya bergantung kepada dukungan daripada para perwakilan.

“Saya amat terbuka dalam perkara ini (jawatan presiden dipertandingkan) yang penting UMNO harus terus dipertahankan, harus terus revelan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Muar di Dewan UMNO Muar, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berucap sebelum merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Muar di Dewan UMNO Muar, Johor hari ini.

Hadir sama Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas adakah beliau akan mempertahankan kerusinya itu pada pemilihan parti dua tahun lagi.

Semalam, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, tiada halangan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO dipertandingkan dalam pemilihan UMNO pada tahun 2026 namun perlu berlangsung secara sihat dan tiada perpecahan dalam parti.

Malah, beliau sendiri sedia mempertahankan jawatannya sekiranya kedua-dua jawatan tersebut dipertandingkan dan menyifatkan kalah atau menang adalah adat pertandingan dan biasa diamalkan dalam demokrasi yang sihat.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, parti keramat Melayu itu bagaimanapun tidak perlu terlalu memikirkan barisan jawatan yang akan dipertandingkan sebaliknya bagaimana untuk memperkukuhkan parti itu.

“Tidak mustahil kalau kita menyelesaikan beberapa masalah titik bengik jika ada masalah kecil-kecilan kita akan menjadi kuat dari segi dukungan.

“Ini adalah untuk kembali memperteguhkan UMNO dan Barisan Nasional dalam pilihan raya yang akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast