Mohamad (kiri) dan Yahya (tengah) secara simbolik menyempurnakan perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Johor Bahru di Hotel Opero, Southkey, Johor Bahru, malam tadi

JOHOR BAHRU – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bimbang parti itu akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dalam keadaan tidak bersedia dan berpecah belah.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Tok Mat berkata, ini kerana UMNO di peringkat bahagian yang berpecah belah dan bersengketa hingga menjejaskan parti yang ketika ini melalui fasa memperkukuhkan parti.

Sepatutnya kata beliau, mereka perlu memperkuatkan parti terlebih dahulu dan tidak sanggah menyanggah antara satu sama lain dan beri tumpuan mempersiapkan parti menghadapi PRU16.

“Perkara itu tidak seharusnya berlaku kerana tempoh PRU16 pada 2027 tidak begitu jauh, mungkin ia boleh diadakan lebih awal, ketika UMNO masih bermasalah.

“Jadi, marilah kita kembali merapatkan saf dan kembali menjadi wadah perjuangan orang Melayu, agenda parti yang diwarisi ini perlu diteruskan sebagai tempat berlindung bangsa Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Perasmian Mesyuarat Bahagian UMNO Johor Bahru di Opero Hotel, di sini, malam tadi.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Datuk Yahya Jaafar.

Mohamad berkata, tidak mustahil apabila parti kembali kuat, UMNO akan bertanding secara solo pada PRU akan datang tanpa perlu bersama-sama dengan mana-mana gabungan politik.

Katanya, perkara tersebut boleh berlaku walaupun UMNO hanya menang 30 kerusi Parlimen pada PRU15.

“Kalau kita dah kuat pada ketika itu, kenapa tidak? Tidak ada masalah, nilai diri kita pada ketika itu, bukan sekarang, sekarang adalah proses memperkuatkan dan memperkukuhkan parti terlebih dahulu,” ujarnya.

Selain itu, beliau mengingatkan UMNO Johor untuk mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu dan kekal mentadbir negeri ini bagi penggal akan datang.

Menurutnya, ini bagi membolehkan segala usaha memajukan negeri ini termasuk inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) tidak jatuh ke tangan pembangkang.

Bagi mencapai hasrat itu katanya, UMNO Johor perlu terus memperkuatkan parti bagi memenangi hati rakyat seterusnya mengekalkan kemenangan pada pilihan raya akan datang.

“Jangan ada sengketa dan perselisihan yang membawa kepada keadaan berpecah belah dalam parti, itu adalah formula untuk kita kekal kuat.

“Kita risau segala yang diusahakan untuk membangunkan negeri ini termasuklah JS-SEZ tidak dapat dikecapi, orang lain yang makan hasilnya, menyesal tak sudah kemudian hari,” katanya. – MalaysiaGazette