Bot yang ditemui bergerak tanpa kawalan di Sungai Pahang, dekat Kampung Belimbing, Pekan. Foto JBPM

PEKAN – Bapa mana tidak risau mengenangkan nasib anaknya yang dipercayai lemas selepas terjatuh ke dalam sungai, semalam.

Moh Azri Osman, 44, berkata, hatinya luluh mengenangkan pengorbanan anak sulungnya, Muhammad Danial Fakrullah yang sentiasa membantunya mencari rezeki seawal jam 5 pagi sebelum ke sekolah.

Moh Azri yang merupakan nelayan darat yang reda dengan insiden menimpa anaknya pagi semalam nekad untuk keluar mencari sendiri menggunakan bot selepas menunaikan solat Subuh pagi tadi.

Operasi pencarian dilakukan bot bersama seorang rakan di lokasi anaknya jatuh di Sungai Pahang berhampiran Kampung Belimbing, di sini.

”Selepas Subuh saya turun dua orang kemudian pukul 7 tadi dengan bantuan 12 orang Kampung Serengkam dan Kampung Belimbing menggunakan lima bot mula giat mencari Danial dari hulu ke hilir.

”Anak memang dah biasa sangat dengan kawasan ini, sejak kecil ikut saya cari ikan. Anak bukan lemah, jenis lasak. Dia selalu bangun awal pukul 5 dah turun ke sungai dahulu sebelum pergi sekolah.

”Memang dia anak harapan saya,” katanya sebak ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Bapa kepada tiga orang anak itu berkata, Danial sememangnya tahu selok-belok di sungai itu kerana sudah lama ’bermain’ di kawasan berkenaan.

Pelajar tingkatan 5 itu sememangnya cergas dan mahir berenang juga kerap turun sendiri ke sungai bagi menangkap ikan ketika ayahnya tidak sihat.

”Dia terpelanting, saya risau kerana bot itu berpusing dan langgar dia mungkin pengsan dan lemah dalam air, semasa saya dah sampai tempat kejadian pun bot masih bergerak. Dia terpelanting sebab botnya melanggar kayu.

”Firasat saya, rasa anak tiada dah, cuma nak cari jasad dia,” kata.

Sementara itu  operasi mencari dan menyelamat yang dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia memasuki hari kedua pada hari ini.

Dalam insiden jam 9 pagi semalam, media melaporkan seorang pelajar hilang setelah terjatuh bot selepas memeriksa jaring di Sungai Pahang dekat Kampung Belimbing, Pekan.

Berdasarkan maklumat orang awam, terdapat sebuah bot dijumpai dalam keadaan berpusing tanpa kawalan dan rakaman itu juga tular sejak semalam di media sosial.

Manakala serorang saksi melihat mangsa terjatuh dari bot ketika menangkap ikan di kawasan Sungai Pahang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast