Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 56 warga asing dalam serbuan di lima premis rumah urut sekitar Bukit Bintang, di sini, Rabu lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, lokasi serbuan merupakan premis kedai dua tingkat dan berada di tengah pusat bandar adalah agak mencabar kerana laluan masuk ke kawasan premis sesak dengan kehadiran pelancong dan kenderaan.

Tambah beliau, ia menyukarkan pergerakan pasukan operasi masuk ke sasaran.

“Tindakan penguatkuasaan ini diambil susulan aduan awam berhubung warganegara asing yang disyaki menjalankan aktiviti tidak bermoral yang berselindung di sebalik perkhidmatan rumah urut di kawasan tumpuan pelancong tanpa memiliki Pas dan
dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Operasi bermula pada jam 9.30 malam melibatkan seramai
sepasukan pegawai pelbagai pangkat dari Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Menurut Ruslin, seramai 91 individu yang terdiri daripada 20 lelaki dan 41 perempuan warga asing serta 30 warga tempatan telah diperiksa dalam operasi tersebut.

“Hasilnya, 56 orang yang terdiri daripada warganegara Bangladesh, Myanmar, Thailand dan Sudan berumur di antara 20 hingga 50 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan.

“Turut ditahan, dua orang warganegara tempatan yang dipercayai sebagai penjaga premis,” ujarnya.

Ruslin berkata, antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport
1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Katanya, kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut. – MalaysiaGazette