Pemain Selangor FC, Ahmad Zikri membuat percubaan ke pintu gol pasukan KL City FC ketika perlawanan Liga Super 2024 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras. Foto MOHD ADZLAN, 14 JULAI 2024.

KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur (KL) City berjaya mengatasi Selangor FC 1-0 di laman sendiri pada aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Bolasepak Cheras di sini malam ini.

Kemenangan skuad The City Boys itu sekali gus melonjakkan kedudukan skuad kendalian Miroslav Kuljanac itu ke tangga keempat carta Liga Super dari tangga ketujuh sebelum ini.

Perlawanan malam ini menyaksikan kedua-dua pasukan bermula seimbang dalam mengatur gerak bagi memburu jaringan, namun gagal memecah kebuntuan sepanjang babak pertama perlawanan.

Memasuki babak kedua skuad The City Boys mendahului pasukan Gergasi Merah menerusi Jovan Montika yang meleretkan bola ke dalam gawang Selangor selepas menerima hantaran Muhammad Hakimi Azim Rosli pada minit ke-63.

Lima minit kemudian, KL City berpeluang menggandakan kedudukan apabila menerima sepakan percuma selepas berlaku insiden tolak-menolak dalam kotak penalti, namun sepakan yang diambil Poulo Josue ditangkap kemas penjaga gol Selangor Mohd Khairulnizam Mohd Khalid.

Asakan demi asakan dilakukan Selangor untuk menyamakan kedudukan, namun gagal dan keputusan kekal 1-0 hingga ke wisel penamat.

Selangor kekal berada di tangga kedua carta dengan sembilan mata, manakala KL City di tangga keempat dengan tujuh mata. – Bernama