Aidi Sham Mohamed.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki lemas semasa sedang mandi di sebuah kolam renang di sebuah hotel di Batu 3, Pork Dickson, Negeri Sembilan, semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt. Aidi Sham Mohamed berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang berumur 38 tahun merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) yang datang bersama lima rakannya dari Subang Jaya, Selangor untuk menyambut ulang tahun kelahiran di sebuah hotel.

Tambahnya, mereka telah menginap di hotel tersebut pada Khamis lalu hingga semalam.

“Siasatan lanjut mendapati si mati telah berenang bersama rakannya sehingga tidak menunjukkan sebarang reaksi tindak balas,” kata beliau dalam kenyataan sambil menambah pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu daripada rakan mangsa pada jam 7.48 pagi semalam.

Menurut Aidi Sham, hasil siasatan yang dijalankan hari ini mendapati punca kematian disebabkan ‘mati lemas’

Tambah beliau, motif kejadian masih dalam siasatan dan tangkapan telah dibuat ke atas lima individu yang terdiri daripada dua lelaki dan tiga perempuan berusia antara 31 hingga 36 tahun.

Aidi Sham berkata, semakan mendapati dua suspek mempunyai rekod jenayah narkotik.

“Hasil ujian saringan awal air kencing ke atas kelima-lima suspek mendapatin positif jenis THC,” ujarnya.

Katanya, kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban pada hari ini dan tahanan reman dibenarkan selama tujuh hari sehingga 20 Julai depan. – MalaysiaGazette