Ahmad Maslan meninjau perkembangan pembinaan jambatan bailey di Kampung Permatang Sepam, Pontian.

PONTIAN – Mesyurat Majlis Kewangan Negara (MMKN) meluluskan pembinaan jambatan bailey sebagai laluan sementara di sembilan negeri di Semenanjung dengan kos RM4 juta hingga RM6 juta sebuah.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, peruntukan itu yang diluluskan menerusi Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (MARRIS) pada Februari lalu bagi memastikan penduduk tidak terputus hubungan.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata, jambatan bailey akan digunakan sementara menanti jambatan kekal siap yang akan mengambil masa beberapa tahun.

“Dengan adanya pemasangan jambatan bailey akan dapat memudahkan perhubungan yang sebelum ini ada jambatan yang rosak, ini biasa berlaku disebabkan bencana seperti banjir, tanah runtuh, tanah mendap dan sebagainya.

“Ini dapat membantu menyelesaikan masalah penduduk atau rakyat terkesan apabila jalan perhubungan mereka terputus.

“Kami mempunyai kepakaran bagi membina jambatan bailey dan namun kos pembeliannya perlu dikongsi bersama bagi menyelesaikan masalah orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak projek jambatan bailey di Kampung Permatang Sepam, Benut, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor, Ir Abu Bakar Abd Aziz dan Jurutera JKR Daerah Pontian, Ir Saharuddin Ismail.

Ahmad berkata, sebelum ini kebanyakan jambatan bailey dibina di jalan Persekutuan dan jalan negeri namun jambatan bailey di Kampung Permatang Sepam merupakan jalan pertanian bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)

“JPS Pontian telah mengemukakan permohonan kepada JPS pusat bagi membina jambatan kekal dengan harga RM1.2 juta,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, setakat ini JKR sudah memasang 22 buah jambatan bailey di seluruh negara sebagai laluan alternatif untuk digunakan dalam tempoh satu hingga dua tahun. – MalaysiaGazette