Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mendapat kebenaran untuk menyambung reman empat individu termasuk pasangan suami isteri yang merupakan pempengaruh yang disyaki terbabit dalam penyelewengan dana derma awam..

Perintah sambung reman selama tiga hari sehingga 16 Julai 2024 dikeluarkan oleh Majistret Siti Zahirah Zaidon selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini berikutan tempoh asal reman kesemua suspek tamat pada hari ini.

Pada 10 Julai 2024, SPRM telah menahan kesemua suspek kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan dana derma awam.

Menurut sumber, kesemua suspek iaitu tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 20-an hingga 30-an telah ditahan kira-kira antara jam 6.30 petang hingga 11 malam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.

Susulan penahanan itu, kesemua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada 11 Julai lalu dan perintah reman selama empat hari sehingga hari ini dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.

“Suspek yang merupakan pasangan suami isteri dipercayai melakukan perbuatan tersebut sejak 2020 dengan menyeleweng kutipan derma yang tidak disalurkan dengan cara yang betul.

“Dianggarkan kutipan derma terbabit mencecah kira-kira RM3 juta dan siasatan masih diperingkat awal dan pada masa yang sama, dua lagi suspek turut ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes yang sama,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan sambungan tempoh reman tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – Malaysiagazette