Istana Negara

KUALA LUMPUR – Sebanyak 14 laluan di sekitar ibu negara ditutup secara berperingkat sempena acara Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada Sabtu ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, jalan terlibat akan ditutup sementara bermula jam 8 pagi untuk acara Istiadat Pertabalan dan jam 8 malam bagi Majlis Santapan Diraja.

“Penutupan jalan secara sementara ini bagi memberi laluan kepada tetamu-tetamu Diraja melalui laluan yang dinyatakan dan sampai mengikut masa yang telah ditetapkan dan akan dibuka semula selepas melalui jalan tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, antara jalan yang terlibat adalah Jalan Tun Razak, Jalan Kia Peng, Jalan Raja Chulan, Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail dan Lebuhraya Sultan lskandar.

Jalan Tuanku Abdul Halim, Jalan Semantan, Jalan Damansara, Jalan Istana Kuala Lumpur-Seremban Expressway, Jalan Kuching (arah Selatan), Bulatan Dato Onn dan Jalan Parlimen.

“Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur akan menempatkan 387 pegawai kanan serta pegawai rendah polis bagi melaksanakan penugasan mengiring orang kenamaan, mengawal lalu lintas, menguatkuasakan undang-undang jalan raya agar acara yang penuh dengan Istiadat Negara dapat berlangsung dengan jayanya,” jelasnya.

Rusdi turut menasihati pengguna jalan raya untuk tidak melalui laluan yang terlibat bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dan mengikuti arahananggota polis trafik yang bertugas di lokasi.

Orang ramai yang mempunyai pertanyaan ataupun maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT KUala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette