KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub mendakwa, terdapat satu kumpulan yang cuba menimbulkan polemik kehangatan Rang Undang-undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan.
Beliau berkata, tidak diketahui apakah punca kumpulan terbabit cuba menimbulkan isu di sebalik perkara yang mendapat sokongan daripada majoriti mufti.
“Setakat yang saya tahu, Rang Undang-Undang Mufti Wilayah Persekutuan, sebenarnya enakmen ini telahpun berjalan di 12 buah negeri dengan bahasa dan ayat-ayat yang lebih kurang sama, butiran yang sama diluluskan.
“Tiada polemik apa-apa pun 12 buah negeri (menyokong)…dan sebab itu bila RUU Mufti Wilayah Persekutuan yang selaras dengan enakmen negeri-negeri ini dibentangkan, tiba-tiba ada satu kumpulan yang menimbulkan polemik sebenarnya.
“Kumpulan ini wallahuaklam mereka yang bangkitkan jadi isu dan syukur kepada Allah S.W.T mufti-mufti buat kali pertama bangkit menyatakan sokongan kepada RUU ini.
“Alhamdulillah, syukur mufti bangkit dan umat Islam nampak mufti ramai sokong. Hari ini 12 orang (mufti) yang sokong,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran produk Al-Mubin, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Wadi berkata, beliau menyokong RUU yang telahpun dibentang untuk bacaan kali pertama di Parlimen kerana ia banyak memberi manfaat kepada umat Islam.
Jelasnya, ia ditambah apabila secara keseluruhannya ramai mufti turut menyokong RUU berkenaan.
“Saya sangat menyokonglah, bila orang tanya bila berlaku perbezaan pendapat yang begitu banyak. Hari ini orang tanya banyak ustaz mengaku ustaz, mereka tanya kita nak ikut siapa, saya jawab ikut mufti, sebab setiap belakang mufti ada ahli jawatankuasa fatwa ramai mewakili orang-orang alim di negeri itu.
“Kalau kita kata, setiap belakang mufti ada orang-orang yang teralim di negeri-negeri tersebut menganggotai untuk bercakap. Bila mufti bawa keluar stand (pendirian) sokong bererti beberapa orang alim ini menyokong kenyataan mufti itu.
“Bayangkan 12 orang mufti itu (yang menyokong RUU). Guru saya ajar, untuk tidak jadi huru-hara dalam sesuatu keputusan tengok pihak yang berautoriti yang paling layak bercakap pasal itu,” tambahnya. – MalaysiaGazette