Sebahagian PATI yang ditahan dalam Ops Selera di sekitar Johor.

JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Johor menahan 145 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari pelbagai negara dalam Ops Selera selepas menggempur empat premis kopitiam di negeri ini kelmarin.

Pengarahnya, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi yang dijalankan pada pukul 10 pagi 12.30 tengah hari itu melibatkan sepasukan pegawai Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Johor.

“Tindakan penguatkuasaan ini diambil susulan aduan orang awam menyatakan terdapat sejumlah warga asing tidak memiliki pasport yang sah bekerja di premis kopitiam.

“Dalam operasi di empat premis kopitiam itu, seramai 203 warga asing dan tempatan diperiksa dan daripada jumlah itu 145 orang telah ditahan atas pelbagai kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Penguat kuasa Imigresen melakukan pemeriksaan pekerja warga asing yang tidak memiliki sebarang dokumen di sebuah kopitiam di Johor.

Beliau memberitahu, mereka yang ditahan terdiri daripada 90 lelaki dan 18 wanita warga negara Myanmar, 27 lelaki Nepal, empat lelaki dan tiga wanita Indonesia serta tiga lelaki Bangladesh masing-masing berusia 18 hingga 44 tahun.

Semua warga asing itu katanya, ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk bawah Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang ditetapkan.

Mereka juga melakukan kesalahan bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit kerja yang sah dan Seksyen 15(1)(C) akta yang sama kerana tinggal lebih lama di negara ini, katanya.

“Jabatan Imigresen tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Perlindungan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” tegasnya. – MalaysiaGazette