Nahas yang mengorbankan seorang warga emas wanita di Gua Musang, Kelantan Foto ihsan PDRM

KUALA LUMPUR- Seorang wanita warga emas wanita maut manakala suaminya cedera parah selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas sebelum dirempuh kenderaan lain di kilometer (KM) 60 Jalan Gua Musang-Lojing, Gua Musang, Kelantan, 3.40 petang semalam.

Mangsa Maznah Mat Nor, 63, dari Kampung Pangkal Meleret, Machang disahkan meninggal dunia pada 7.08 petang ketika mendapatkan rawatan di Hospital Gua Musang.

Manakala suaminya, Ariffin Mamat, 75, mengalami kecederaan dalaman dan seorang lagi pemandu Perodua Myvi berusia 44 tahun mengalami luka di tangan kanan dan kiri serta dahi.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, berkata siasatan awal mendapati pasangan warga emas yang juga menaiki Perodua Myvi dalam perjalanan dari Gua Musang ke Lojing.

Katanya, ketika kejadian kenderaan yang dipandu Ariffin hilang kawalan ketika mengambil selekoh.

“Kenderaan dipandu lelaki warga emas itu berpusing dan masuk ke laluan bertentangan lalu dilanggar pemandu Myvi yang berada di laluan sah.

“Ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk menerima rawatan. Mangsa warga emas wanita disahkan meninggal dunia pada pada jam 7.08 malam ketika menerima rawatan di hospital,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Choon Foo berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga.Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-MalaysiaGazette