KUALA LUMPUR – Polis akan menyerahkan kertas siasatan kes buli dan ugutan jenayah sehingga membawa kematian kepada pempengaruh media sosial, Rajeswary Appahu, 30, atau Esha kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) hari ini.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari mengesahkan perkara itu ketika dihubungi pagi tadi.
“Kertas siasatan sudah dilengkapkan dan kita akan menyerahkan kepada TPR hari ini untuk arahan serta tindakan lanjut dalam kes ini.
“Setakat ini, kita sudah merakam keterangan daripada 11 orang individu bagi membantu siasatan dalam kes terbabit,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Dalam pada itu, Ahmad Sukarno juga mengesahkan polis turut melanjutkan reman ke atas suspek kedua dalam kes berkenaan iaitu pemandu lori berusia 44 tahun yang ditahan di Setapak pada Rabu lalu.
“Suspek yang dipercayai menggunakan akaun TikTok bernama @DulalBrothers disambung reman selama dua hari bermula Isnin hingga Selasa (16 Julai 2024) bagi membantu siasatan lanjut,” katanya lagi.
Siasatan akan diteruskan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana kerana mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah.
Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Justeru, siasatan turut dikendalikan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar perkhidmatan rangkaian serta kemudahan rangkaian dengan menyebarkan kenyataan jelik dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil (Kelakuan Aib).
Sebelum ini polis telah menahan reman seorang wanita tempatan berusia 35 tahun di BUkit Beruntung Golf Resort sebagai suspek pertama dalam kes tersebut.
Kemudian suspek pertama itu disambung reman sehingga 12 Julai lalu dan dibebaskan dengan jaminan polis sementara melengkapkan kertas siasatannya.
Siasatan awal polis mendapati pengadu telah terlihat dua hantaran di aplikasi Tiktok di bawah penama @DulalBrothers dan @Alphaquinnsha mengenai fitnah dan ugutan terhadap Esha pada 3 Julai.
Menurutnya, kedua-dua akaun TikTok terbabit telah menggunakan gambar Esha sebagai latar belakang kandungan video yang telah dimuat naik ke akaun masing-masing.
Jelasnya, kandungan tersebut juga didapati mengandungi ugutan dan ancaman kepada Esha selain menggunakan kata-kata kesat serta lucah.
Hasil semakan polis mendapati tohmahan dan fitnah yang dilaporkan wujud berdasarkan tangkap layar yang dikemukakan oleh pengadu kepada polis namun ia disyaki telah dipadam oleh kedua-dua pemilik akaun TikTok terbabit. – MalaysiaGazette