Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari. Foto FAREEZ FADZIL, 07 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Polis akan memanggil tiga individu termasuk seorang bekas pegawai polis untuk dirakam keterangan membantu siasatan berhubung kes buli terhadap pempengaruh media sosial, A. Rajeswary atau Esha  sehingga membawa kematiannya pada awal Julai ini

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari ketika dihubungi berkata, ketiga-tiga individu berkenaan akan dipanggil dalam minggu ini  bagi membantu siasatan polis.

“Saya boleh sahkan kita sebelum ini menerima laporan polis ke atas tiga individu berkenaan daripada keluarga mangsa (ibu simati).

“Rentetan itu, kita akan memanggil ketiga-tiga individu terbabit termasuklah seorang bekas polis untuk merakam keterangan mereka dalam kes ini,” katanya.

Diminta mengulas tentang dakwaan pembabitan seorang pengasas produk dalam kes tersebut, Ahmad Sukarno bagaimanapun menambah setakat ini pihaknya tidak dapat memastikan tentang kesahihan maklumat tersebut.

“Bagaimanapun, siasatan polis bergantung kepada keterangan yang diperoleh daripada saksi-saksi dalam kes ini,” jelasnya.

Hari ini Ahmad Sukarno mengesahkan kertas siasatan yang dilengkapkan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan tindakan lanjut dalam kes tersebut.

Justeru  polis turut melanjutkan tempoh reman selama dua hari sehingga esok terhadap suspek kedua yang disiasat dalam kes ini iaitu seorang pemandu lori berusia 44 tahun yang dipercayai pemegang akaun TikTok Bernama @DulalBrothers.

Setakat ini, polis telah mengambil keterangan daripada 11 saksi bagi membantu siasatan dalam kes terbabit.

Pada Khamis lalu, Ahmad Sukarno mengesahkan tankapan pemandu lori itu sekitar 6.30 petang di satu lokasi di Setapak pada 10 Julai lalu.

Selasa lalu, seorang suspek wanita yang bekerja sebagai pembantu rumah jagaan orang tua berusia 35 tahun diberkas polis di Bukit Beruntung untuk membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh reman lima hari tamat Jumaat lepas.

Kedua-dua suspek disyaki melemparkan kata ugutan dan ancaman terhadap mangsa serta turut menggunakan kata-kata kesat dan lucah di TikTok.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan ugutan jenayah, Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 (menyebarkan kenyataan jelik) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil (kelakuan aib).

Kelmarin, media melaporkan ibu kepada Rajeswary membuat laporan polis berkaitan buli siber membabitkan anak perempuannya itu di Balai Polis Gombak dan laporan itu dipindahkan ke pihak Polis Daerah Sentul untuk tindakan.

Puspa P.Rajagopal, 56, berkata, laporan itu dibuat terhadap dua lelaki serta seorang wanita yang dikatakan memuat naik video serta membuat siaran langsung di media sosial berkaitan pempengaruh berkenaan walaupun anak perempuannya itu sudah meninggal dunia.

Mangsa Rajeswary, 30, ditemukan meninggal dunia di sebuah unit kediaman di sebuah kondominium di Setapak selepas dipercayai ada kaitan dengan tekanan dihadapinya kerana didakwa menjadi mangsa buli siber.

Mendiang sempat membuat satu laporan polis berhubung buli siber yang dihadapinya di Balai Polis Dang Wangi pada 4 Julai lalu dan laporan tu dipindahkan ke pihak Polis Daerah Sentul untuk siasatan.- MalaysiaGazette