Special Branch defamation suit pontianak false claims

JOHOR BAHRU – Mahkamah Persekutuan yang bersidang di sini hari ini mengenepikan hukuman gantung terhadap bekas pengawal keselamatan warga Indonesia atas kesalahan membunuh pegawai AmBank cawangan Subang Jaya, pada 2013.

Keputusan itu dibuat panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hanipah Farikullah.

La Ode Ardi Rasila yang berusia 47 tahun dijatuhkan hukuman penjara 38 tahun beserta 12 sebatan bagi pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dia yang berasal dari Sulawesi, Indonesia itu turut dijatuhkan hukuman penjara 33 tahun beserta 12 sebatan bagi pertuduhan kedua di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Kedua-dua hukuman itu berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 10 November 2013.

Dia didakwa membunuh Norazita Abu Talib yang ketika itu berusia 37 tahun dalam bangunan AmBank di alamat Nombor 5 dan 7 Jalan Sentral 2, USJ Sentral, Subang Jaya di antara pukul 6 petang dan 6.30 petang, 23 Oktober 2013.

La Ode kemudian dilaporkan meminta rakan sekerja mangsa untuk mengisi wang bernilai kira-kira RM500,000 ke dalam sebuah beg sebelum melarikan diri menggunakan sebuah motosikal.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam, Kee Wie Lon yang dibantu pelatih guaman, Ee Gen You.

Pada 29 Februari 2016, Mahkamah Persekutuan di Putrajaya mengekalkan hukuman gantung terhadap tertuduh selepas panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif.

Keputusan itu dibuat selepas panel hakim sebulat suara menolak rayuan La Ode kerana berpuas hati terdapat bukti mencukupi bagi mengekalkan Keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam, sebelum itu.

La Ode tinggal di Malaysia dengan menggunakan kad pengenalan palsu untuk menetap dan mencari kerja di Malaysia sebelum menjadi seorang pengawal keselamatan pada tahun 2012. – MalaysiaGazette