Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari

KUALA LUMPUR – Dua individu yang dipercayai terlibat membuli dan mengugut pempengaruh media sosial, Rajeswary Appahu atau dikenali Esha di aplikasi TikToK akan dihadapkan ke mahkamah, esok.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pembantu rumah jagaan orang tua berusia 35 tahun dan pemandu lori berumur 44 tahun itu akan didakwa di Mahkamah Jalan Duta, di sini.

“Kita telah merujuk kertas siasatan kedua-dua suspek dalam kes ini kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pagi tadi dan telahpun menerima arahan untuk tuduh mereka di mahkamah Jalan Duta Kuala Lumpur pagi esok,” katanya.

Pada 5 Julai lalu, pempengaruh berusia 30 tahun itu ditemui meninggal dunia, iaitu sehari selepas membuat laporan polis berhubung ugutan jenayah dan fitnah terhadap dirinya.

Sebelum ini Ahmad Sukarno mengesahkan seramai 11 saksi termasuk ahli keluarga mangsa selesai dirakam percakapan bagi melengkapkan kertas siasatan polis dalam kes tersebut. – MalaysiaGazette