KUANTAN – Pelajar Tingkatan 5 yang terjatuh dari bot ketika menangkap ikan di Sungai Pahang di Pekan Sabtu lalu dijumpai orang awam pada pukul 11.44 pagi tadi.
Menurut Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria, mayat Muhammad Danial Fakhrullah Mohd Azri, 17, ditemukan kira-kira 25 kilometer dari lokasi dia dipercayai jatuh.
Mangsa yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Maran itu ditemukan dalam keadaan terapung di sungai terbabit.
Semalam, Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, pihaknya menerima panggilan melaporkan kejadian seorang lelaki terjauh ke sungai ketika mengemudi bot di lokasi tersebut.
Danial turun ke sungai mencari ikan jam 5 pagi sebelum ke sekolah – Bapa
Beliau memberitahu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa diaktifkan semalam melibatkan anggota bomba, polis dan penduduk Kampung Belimbing dan Kampung Orang Asli Tanah Merah.
Muhammad Danial Fakhrullah dilaporkan terjatuh dari bot ketika menjaring ikan di Sungai Pahang di Kampung Belimbing, Pekan.
Pada kejadian awal, bomba berkata, berdasarkan maklumat orang awam, terdapat sebuah bot dijumpai dalam keadaan berpusing tanpa kawalan.
Bot yang dikemudi pelajar terbabit dipercayai terlanggar kayu dan berpusing di permukaan air sebelum mangsa tercampak ke sungai.
Insiden itu dilaporkan pada jam 8.55 pagi Sabtu sebelum pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pekan dan Maran digerakkan ke lokasi kejadian. – MalaysiaGazette