Pengasas KK Mart Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan, 57 mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyinggung perasaan umat Islam berikutan penjualan stoking yang mempunyai kalimah Allah di Mahkamah Shah Alam, Selangor. Foto SYADILA AMARI, 26 MAC 2024.

SHAH ALAM – Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Mart), Datuk Seri Chai Kee Kan berharap semua pihak apat menoktahkan isu stoking yang tertera kalimah Allah yang dijual di kedai serbaneka.

Kee Kan berkata, beliau tidak menyangka ia akan berlaku pada beliau, isteri dan syarikatnya.

“Selepas ini harapnya semua pihak akan dapat noktahkan perkara ini. Kejadian stoking ini sesuatu yang langsung tidak dapat dilupakan,” katanya kepada media hari ini.

Hari ini, Hakim Mahkamah Sesyen, Muhamad Anas Mahadzir melepas dan membebaskan (DNAA) Kee Kan dan isterinya, Datin Seri Loh Siew Mui daripada pertuduhan melukakan perasaan orang Islam berhubung stoking tertera kalimah Allah.

Peguam KK Mart, Rajpal Singh bercakap pada media mengenai kes stoking yang mempunyai cetakan Kalimah Allah.

Turut mendapat perintah sama adalah tiga pengarah syarikat pembekal, Xin Jian Chang Sdn. Bhd iaitu Soh Chin Huat, isterinya, Goh Li Huay, dan anak mereka, Soh Hui San, atas pertuduhan bersubahat mengenai kesalahan sama.

Sementara itu, Peguam yang mewakili pasangan uami isteri itu, Datuk Rajpal Singh berkata, keputusan DNAA itu dibuat selepas representasi dihantar mereka diterima oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 17 Mei lepas.

“Harap masyarakat juga dapat move on selepas ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pendakwaan tak mahu teruskan kes, pengasas KK Mart, isteri dilepas dan dibebaskan