Asni (bergari) terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Persekutuan yang bersidang di Johor Bahru hari ini menggantikannya dengan hukuman penjara

JOHOR BAHRU – Mahkamah Persekutuan yang bersidang di sini hari ini mengenepikan hukuman gantung terhadap seorang peniaga yang membunuh pelancong warga Perancis pada Mei 2011.

Mahkamah Persekutuan menggantikannya dengan hukuman penjara 36 tahun beserta 12 sebatan bermula dari tarikh tangkap iaitu 21 Julai 2011.

Keputusan tersebut dibuat panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama-sama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hanipah Farikullah.

Asni Omar , 49, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Stephanie Foray yang ketika itu berusia 30 tahun di sebuah rumah di Kampung Tekek, Pulau Tioman, antara pukul 8 malam 10 Mei dan pukul tengah hari 12 Mei 2011.

Mayat Foray dijumpai kira-kira tiga bulan kemudian selepas ditanam dalam sebuah gua di Pulau Tioman.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam, Kee Wie Lon yang turut dibantu Ee Gen You.

Pada 16 Ogos 2016, Mahkamah Persekutuan di Putrajaya mengekalkan hukuman mati terhadap Asni selepas rayuan akhirnya ditolak panel lima hakim anggota diketuai Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Arifin Zakaria yang memutuskan bahawa tiada merit dalam rayuan tersebut.

Empat lagi hakim yang bersidang dalam panel itu ialah Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zainun Ali, Tan Sri Abu Samah Nordin, Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Datuk Balia Yusof Wahi. – MalaysiaGazette