Persatuan Ulama Sarawak (Ittihad)

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 merupakan agenda penting dalam memperkukuh dan menjamin perpaduan masyarakat Islam di Malaysia, justeru perlu dilaksanakan mengikut tafsiran dan perincian yang telah diperuntukkan.

Yang Dipertua Persatuan Ulama Sarawak (Ittihad) dalam kenyataan hari ini berkata, pindaan RUU itu pastinya akan dapat menjadi panduan rasmi dalam hal-ehwal Islam di Malaysia demi mencapai kesatuan ummah pada setiap masa.

“Aliran yang bersifat terbuka dan fleksibel terhadap warisan adat istiadat umat Islam serta toleransi dalam amalan-amalan ibadat ini amat jauh dan terhindar dari fahaman ekstremisme dan radikal yang membawa kepada perpecahan ummah,” katanya.

Sehungan itu, tambah kenyataan tersebut, Ittihad menyokong penuh RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 yang telah dibaca buat kali pertama di Dewan Rakyat pada 2 Julai lalu.

Jelasnya, sokongan itu dizahirkan untuk menyokong kesepakatan institusi Fatwa Negeri-Negeri yang selari dengan keputusan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali ke 106.

“Fasal 3 RUU tersebut memperuntukkan bahawa takrifan “Ahli Sunnah Waljamaah” adalah golongan yang berpegang dengan al-Quran dan sunah berdasarkan panduan aliran akidah Al-Asyairah dan Al-Maturidiyah, fiqh mazhab Syafie atau mengikut keadaan tertentu mana-mana satu mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali atau melalui ijtihad hukum yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa dan panduan tasawwuf mengikut aliran Imam Junaid Al-Baghdadi dan Imam Al-Ghazali,” katanya.

Pada 2 Julai lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar membentangkan tiga RUU berkaitan hal ehwal Islam untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Ia merangkumi RUU Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024, RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 dan RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024.

RUU Mufti itu mendapat sokongan seramai 12 mufti negeri, namun sebahagian daripada pindaan yang terdapat di dalam RUU itu mencetuskan polemik dalam kalangan agamawan dan ahli politik. – MalaysiaGazzete