Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu menahan pasangan suami isteri yang disyaki mendapatkan kerja-kerja pembekalan bernilai lebih RM200,000.

Sumber berkata, suspek lelaki yang berusia sekitar 30-an itu telah ditahan di pejabatnya kira-kira jam 12 tengah hari tadi manakala isterinya yang berusia 30-an turut ditahan kira-kira jam 1 petang tadi di kediaman pasangan tersebut di sebuah daerah di Terengganu.

“Siasatan awal SPRM mendapati pasangan tersebut dipercayai melakukan perbuatan itu sekitar tahun 2022 sehingga 2023 dengan melibatkan beberapa jenis kerja pembekalan yang berbeza.

“Suspek lelaki yang bertugas di sebuah agensi di negeri ini disyaki menggunakan jawatannya dengan mencadangkan sebutharga milik syarikat isterinya bagi membolehkan syarikat isterinya itu mendapat kerja-kerja pembekalan di tempat kerjanya yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM200,000,” katanya.

Sumber memberitahu, SPRM Terengganu kini sedang meneliti kerja-kerja pembekalan lain yang diperolehi oleh syarikat terbabit daripada agensi berkenaan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan pasangan tersebut.

Jelas beliau, kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.

Beliau juga tidak menolak akan ada tangkapan susulan selepas ini dan kedua-dua suspek akan di bawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu esok untuk mendapatkan permohonan reman. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast