kerusi PRN
IMBAS KEMBALI. Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MUHD NA’IM, 10 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Keterbukaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk jawatan presiden dipertandingkan disifatkan langkah yang baik demi kelangsungan parti orang Melayu tersebut.

Penganalisis politik, Prof. Dr. Kartini Aboo Talib berkata, sudah tiba masanya Ahmad Zahid mempertimbang untuk memainkan peranan sebagai penasihat kepada parti.

Malah ujar beliau yang juga Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ahmad Zahid serta pemimpin-pemimpin lama di dalam UMNO juga wajar memberi ruang kepada calon muda dan berintegriti untuk menjadi Presiden UMNO.

Prof. Dr. Kartini Aboo Talib

“Pemimpin lama di dalam UMNO harus lebih pragmatik dalam mengurus dan melahirkan pemimpin pelapis buat parti itu sekiranya mereka benar-benar berjiwa UMNO dan sayangkan parti tersebut.

“Keterbukaan Ahmad Zahid dan pemimpin lama di dalam UMNO ini juga boleh mengembalikan semula sokongan ahlinya dan orang Melayu jika betul caranya,” katanya kepada MalaysiaGazette  hari ini.

Semalam, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, beliau sentiasa terbuka sekiranya dua jawatan utama dalam UMNO iaitu Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

Namun, tambah Ahmad Zahid, semuanya bergantung kepada keputusan yang akan dibuat dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan juga Perhimpunan Agung UMNO (PAU).

Dalam pada itu, ditanya kemungkinan berlaku perpecahan yang lebih buruk di dalam UMNO sekiranya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan, Kartini berkata, perkara tersebut tidak akan berlaku disebabkan UMNO sudah mempunyai hierarki kepimpinan tersendiri.

“UMNO adalah parti yang telah sedia ada `factions’ (kepuakan) di dalamnya kerana secara organik adanya pemimpin Pusat, pemimpin pergerakan Pemuda, Wanita, Puteri dan belia.

“Kepuakan ini telah alah bisa tegal biasa, mereka tidak akan berpecah kerana mempunyai matlamat yang sama,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast