KUALA LUMPUR – Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) digantung tiga hari daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat selepas diarah keluar dewan oleh Timbalan Speaker, Datuk Ramli Mohd Noor.
Perintah itu dikeluarkan Ramli selepas Awang enggan mengikuti arahannya supaya menarik balik kenyataan berbunyi ‘dia anti Islam’ yang dilemparkan kepada Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer sebelum itu.
Awang dari Perikatan Nasional (PN) tetap mempertahankan kenyataan itu walaupun Ramli memberi peluang kepada beliau dengan membuat kiraan tiga kali sebelum keputusan dibuat.
“Hendak tarik balik atau tidak (kenyataan berkait anti-Islam), dengan sedemikian bentara, tiga hari keluar,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Sebelum itu, Rayer bangkit mencelah berhubung Peraturan Dewan 36 (4) atas kesalahan Ahli Dewan Rakyat menggunakan bahasa kurang sopan dan sangkaan jahat.
Ia susulan tindakan ahli Parlimen pembangkang yang mengeluarkan kenyataan menghina Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dengan menggunakan istilah ‘posmen’ selain ‘enam jahanam’ yang merujuk kepada enam bekas wakil rakyat Bersatu, minggu lalu. – MalaysiaGazette