Seorang tukang cuci kereta warga Sri Lanka maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan di Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, tengah malam tadi. Foto ihsan IPD Johor Bahru Selatan

JOHOR BAHRU – Seorang tukang cuci kereta warga Sri Lanka maut selepas motosikal ditunggangnya terperosok bawah sebuah kereta dalam nahas melibatkan empat kenderaan di Kilometer 11 Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 12.40 malam itu, mangsa, Mohammed Roshan Mohammed Samsudeen yang berusia lingkungan 30-an cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kemalangan tersebut melibatkan dua buah motosikal dan dua kereta jenis Toyota Vios warna putih serta kelabu (silver).

“Kemalangan berlaku apabila mangsa datang dari pusat bandar menghala ke Kota Tinggi menunggang motosikal di lorong tengah telah melanggar sebuah motosikal lain yang berada dihadapannya menyebabkan mangsa jatuh ke lorong kanan.

“Pada masa sama datang Toyota Vios kelabu terus melanggar mangsa. Kemudian Toyota Vios kelabu itu pula dilanggar sebuah Toyota Vios putih dari belakang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, akibat pelanggaran tersebut mangsa terkorban di tempat kejadian manakala penunggang motosikal yang dilanggar itu berusia 40-an dan mengalami luka-luka di bahagian tangan.

Sementara dua lelaki masing-masing berusia 30-an dan 50-an yang memandu dua kereta berkenaan katanya, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Raub memberitahu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Pihak polis memohon saksi awam yang melihat kejadian tersebut agar tampil ke balai trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan untuk memberi keterangan atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Nurul Hafiza Othman 014-8068350,” ujarnya.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Penguasa Bomba Kanan II Shahril Sapar berkata, sembilan anggota dibantu masing-masing sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

Kata Shahril, setibanya di tempat kejadian pihak bomba mendapati mangsa tersepit bawah Toyota Vios kelabu dan pihaknya mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas.

“Mangsa disahkan sudah meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang hadir di tempat kejadian sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis,” katanya. – MalaysiaGazette