Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertegas tidak sesekali akan melindungi anggotanya yang ditahan reman hari ini bagi membantu siasatan dalam kes bunuh melibatkan seorang bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain Ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini berkata, PDRM akan menjalankan siasatan dengan telus, adil dan saksama dalam kes bunuh tersebut.

“Pendirian kita (PDRM) sangat jelas, pangkat atau kedudukan anda tidak penting.

“Anggota polis yang didapati melakukan jenayah akan menghadapi keadilan atas apa yang mereka lakukan, jangan harap kami akan melindungi perbuatan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas diminta memberi komen berhubung tangkapan seorang Lans Koperal polis bagi membantu siasatan kes kematian Nur Farah Kartini.

Dalam perkembangan berkaitan, Razarudin juga mengingatkan semua warga PDRM bahawa mereka mengangkat sumpah untuk berkhidmat kepada orang ramai dan menguatkuasakan undang-undang secara adil.

“Ingat sumpah ini dan ketahuilah bahawa kelakuan anda mewakili seluruh pasukan polis. Kita tidak akan membenarkan ‘nila setitik’ ini menjejaskan imej polis,” tegasnya,

Nur Farah yang dilaporkan hilang sejak 10 Julai lalu selepas keluar menghantar kereta sewa kepada pelanggan sebelum mayat ditemui dalam keadaan reput di ladang kepala sawit di Hulu Selangor petang Isnin.

Penemuan mayat kemudian membawa kepada tangkapan seorang penjawat awam yang merupakan Lans Koperal yang berkhidmat lima tahun di Balai Polis Slim River, Kontinjen Perak.

Suspek yang disyaki teman lelaki mangsa direman seminggu sehingga 22 Julai ini dan sedang disiasat di Bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang boleh membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan.-MalaysiaGazette