Pihak polis masih menunggu laporan makmal berhubung hasil bedah siasat ke atas mayat Nur Farah Kartini Abdullah

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan bedah siasat ke atas mayat Nur Farah Kartini Abdullah yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh, diputuskan Pending Laboratory Investigation (menunggu laporan makmal).

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ia diputuskan oleh Pakar Patalogi Forensik Hospital Sungai Buloh selepas lebih dua jam proses bedah siasat dijalankan yang bermula pukul 3 petang hingga 5.30 petang.

“Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut dan mohon mana- mana saksi kejadian untuk tampil di balai yang berhampiran bagi membantu siasatan.

“Orang ramai juga diingatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes ini serta tidak menyebarkan sebarang gambar atau perkara yang boleh mengganggu siasatan kes ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, mayat Nur Farah Kartini, 25, ditemui hampir reput di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor pada Isnin.

Hussein berkata, mayat mangsa dipercayai telah meninggal dunia sejak beberapa hari lalu.

Susulan itu, seorang lelaki merupakan anggota polis yang bertugas di Kontinjen Perak telah direman selamat tujuh hari bermula hari ini.

Suspek berusia 26 tahun itu direman bagi siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette