Kanak-kanak perempuan ditemukan maut disyaki terjatuh dari tingkat 16 perumahan di Presint 9 Putrajaya awal pagi tadi. Ihsan foto IPD Putrajaya.

PUTRAJAYA – Seorang kanak-kanak perempuan maut disyaki terjatuh dari tingkat 16 sebuah perumahan di Fasa 12, Presint 9, Putrajaya di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daeah Putrajaya, Asisten Komisioner A.Asmadi Abd Aziz berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Putrajaya kira-kira jam 8.52 pagi.

Terdahulu kata beliau,  pihaknya menerima panggilan MERS 999 yang memaklumkan mengenai kejadian kanak-kanak jatuh bangunan sekitar 7.50 pagi tadi.

Bertindak atas maklumat itu sepasukan anggota telah bergegas ke lokasi kejadian di Blok 12 E3, Tingkat 16, Fasa 12, Presint 9.

“Siasatan awal di lokasi mendapati mangsa yang dianggarkan berusia empat tahun itu dipercayai terjatuh dari tingkat 16 perumahan itu.

“Mangsa telah dibawa ke Hospital Putrajaya untuk tindakan rawatan susulan. Bagaimanapun, sekitar jam 8.52 pagi tadi pihak polis dimaklumkan oleh pegawai perubatan Hospital Putrajaya mangsa yang parah dalam insiden itu telah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette pagi ini.

Tambah beliau, polis juga telah mengesan tompokan darah di lobi bangunan tersebut tempat mangsa ditemui terjatuh.

“Polis masih meneruskan siasatan dan akan menunggu hasil bedah siasat hospital untuk menentukan punca sebenar kematian kanak-kanak tersebut,” katanya lagi. -MalaysiaGazette