CARSOME jalin kerjasama dengan AMBANK, pacu pertumbuhan berterusan

KUALA LUMPUR -Kumpulan AmBank menawarkan kemudahan pembiayaan sebanyak RM100 juta kepada CARSOME untuk meluaskan operasinya, meningkatkan perlhidmatan serta memacu pertumbuhan berterusan.

Dalam kenyataannya hari ini, kumpulan perbankan itu berkata, menerusi pembiayaan berkenaan, Carsome mampu mempercepatkan lagi pelbagai peringkat proses dagangan kereta terpakai, menawarkan pengalamana lebih baik serta tidak merumitkan pelanggan mereka.

Pengarah Urusan, Perbankan Perniagaan, Kumpulan AmBank, Christopher Yap berkata, AmBank sentiasa menyokong pertumbuhan dan inovasi CARSOME dalam menyediakan penyelesaian sepenuhnya untuk pelanggan.

“Rekod prestasi terpuji mereka dalam pasaran kereta terpakai membuatkan kami berbesar hati untuk bekerjasama dalam merevolusikan ekosistem automotif Malaysia.

“Dengan ekuiti jenama yang kukuh, kedudukan kewangan yang teguh serta pangkalan pelanggan yang meluas, kami berharap kerjasama ini dapat memperkukuh lagi operasi dan prospek CARSOME Capital, ” katanya.

Selain itu, Pengasas Bersama, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CARSOME, Eric Cheng berkata, kerjasama mereka dengan AMBANK menandakan satu peristiwa penting dalam perjalanan mereka untuk merevolusikan industri automotif.

“Kemudahan pembiayaan pada skala ini merupakan satu pengesahan yang kukuh terhadap model perniagaan CARSOME dan membolehkan kami meningkatkan keupayaan pembiayaan Kumpulan CARSOME secara keseluruhan.

“Melalui CARSOME Capital, kami akan memanfaatkan perkongsian ini untuk mengembangkan lagi tawaran perkhidmatan kami, meluaskan impak kami dan terus berinovasi dalam ekosistem automotif di seluruh Asia Tenggara,” katanya.

Ditubuhkan pada tahun 2015, CARSOME kini merupakan platform e-dagang kereta bersepadu terbesar di Asia Tenggara, setelah mencapai kemajuan pesat dalam landskap perniagaan.

Ekosistem penuh CARSOME telah berkembang pesat melalui rangkaian perkhidmatan komprehensifnya, termasuk pemeriksaan kereta, jualan, pembiayaan dan khidmat selepas jualan.-MalaysiaGazette